Selasa, 21 Februari 2012

Pemantauan Berfokus PPDa JPN ke sekolah-sekolah negeri Pahang 2012

Lawatan pemantauan berfokus telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah di Daerah Kuantan. SMK Tok Sera dan SMK Vokasional Kuantan telah dilawati. Selain memnatau pengurusan dan aktiviti PPDa di sekolah berkenaan, khidmat bantu juga telah diberikan kepada Guru PPDa dan pengurusan sekolah.
Bersama Pengetua SMK Tok Sera

Bersama Guru PPDa dan GPK HEM SMK Tok Sera

SMK Tok Sera, Kuantan

Bersama Pengetua, GPK HEM dan Guru PPDa SM Vokasional Kuantan

Mesyuarat Pengurusan PPDa Negeri Pahang Bil 1/2012


Isnin, 13 Februari 2012

Perutusan Hari Antidadah 2012

PERUTUSAN

Y. BHG. DATO' SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

SEMPENA

HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN

19 FEBRUARI 2012
________________________________________________

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya maka dapat kita berhimpun bagi mengadakan sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan. Pada setiap tahun, tanggal 19 Februari, kita akan mengadakan sambutan ini bertujuan menunjukkan bahawa kita masih komited untuk meneruskan usaha memerangi gejala dadah daripada terus berleluasa. Komitmen untuk membendung ancaman dadah ini perlu diteruskan bagi memastikan bangsa dan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara ini.

2. Justeru, sempena Hari Antidadah Kebangsaan ini, saya ingin mengajak semua warga pendidik bersama-sama memerangi penyalahgunaan dadah secara habis-habisan. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan oleh warga pendidik ini akan dapat merealisasikan agenda kerajaan iaitu Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012 dan Negara Bebas Dadah Tahun 2015.

3. Bagi merealisasikan aspirasi murni ini, pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) perlu memastikan semua sekolah di negara ini bebas dadah melalui pelaksanaan program-program bersifat pencegahan di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

4. Pada tahun 2012, visi KPM adalah ke arah sekolah bebas dadah. Oleh itu, KPM telah merancang dan melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di peringkat sekolah di seluruh negara. Tindakan pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti kependidikan yang berfokus kepada pembinaan jati diri murid. Melalui aktiviti yang berfokus, diharapkan akan terbina disiplin kendiri yang kental dan utuh serta budi pekerti mulia dan terpuji dalam diri setiap murid.

5. Faktor utama yang menentukan kejayaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah sangat bergantung kepada komitmen murid-murid sendiri. Komitmen murid menghayati segala nilai murni sepanjang berada di bangku sekolah merupakan benteng yang ampuh bagi memerangi najis dadah. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan bukan sahaja bermatlamat membanteras penyalahgunaan dadah tetapi turut membuka peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan bakat dan potensi diri masing-masing melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.

6. KPM amat menyedari bahawa masalah penyalahgunaan dadah pada hari ini semakin rumit dan telah melibatkan semua peringkat umur termasuklah golongan remaja dan murid-murid sekolah. Keadaan ini menjadi lebih serius disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Di samping itu, kes-kes penyeludupan dan pengedaran dadah juga semakin berleluasa seperti yang didedahkan dalam media massa. Keadaan ini menyebabkan murid sekolah sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Ini bermakna semua pihak perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.

7. Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak mempergiat usaha secara berterusan dalam memberikan pendidikan pencegahan awalan kepada murid. Saya percaya bahawa usaha-usaha tersebut mampu membimbing mereka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah. Pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah mempunyai kaitan rapat dengan usaha KPM untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti pendidikan. Sesungguhnya, murid-murid hari ini adalah generasi pemimpin negara pada masa depan yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam aspek pemikiran analitik, kritis, kreatif dan seterusnya mampu membuat keputusan dan menyelesaikan pelbagai masalah.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

8. Walaupun KPM menetapkan visi ‘Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012’ tetapi Perancangan Pendidikan Pencegahan Dadah Jangka Panjang terus dilaksanakan. Ini bermakna, pendidikan pencegahan dadah perlu diteruskan kerana saban hari dan setiap masa murid-murid kita akan sentiasa terdedah kepada gejala ini. Dalam hal ini, semua warga pendidikan perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tidak ada seorang pun warga sekolah terlibat dengan dadah. Pengurus sekolah, perlu melihat gejala penyalahgunaan dadah sebagai perkara yang serius dan perlu sentiasa diberi perhatian. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya. Kita tidak boleh membiarkan masalah dadah mengganggu-gugat proses pembelajaran, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid ketika di sekolah.

9. Matlamat aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Aktiviti yang dilaksanakan di semua sekolah bagi memastikan warga sekolah berusaha menjauhi ancaman dadah. Saya sedar tugas dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini amat berat dan mencabar. Oleh itu, penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai agensi harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini adalah kerana pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah amat memerlukan kerjasama yang bersepadu dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

10. Akhir kata, sekali lagi saya menyeru kepada semua warga pendidikan agar sentiasa berusaha dan menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan gejala negatif ini. Semoga dengan kerjasama daripada semua pihak dalam memerangi penyalahgunaan dadah ini akan dapat memastikan generasi muda kita bebas daripada pengaruh dadah. Sesungguhnya, usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.
Sekian, terima kasih.

Dapatkan Perutusan ini melalui Muat Turun

Pejabat Pelajaran Daerah Maran yang baru

Pejabat Pelajaran Daerah Maran kini beroperasi di bangunannya sendiri, beralamat Jalan Seri Keramat, bersebelahan SMK Cedung Jaya. Sebelum ini PPD Maran beroperasi di Wisma Persekutuan, Maran.
     Bermula 1 Februari 2012, Unit PPDa juga telah berpindah ke bangunan baru ini. Diharapkan pengurusan PPDa juga semakin mantap dan terus maju.

Khamis, 26 Januari 2012

Selamat Datang Tuan PPD Maran yang baru, En Baharum bin Hj. Samat

PPDa Daerah Maran mengucapkan selamat bertugas kepada Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Maran yang baru, Encik Bahrum bin Hj. Samat. Kehadiran sentiasa dihargai dan dinanti-nanti dalam memastikan kesinambungan kepimpinan PPD Daerah Maran. Beliau pernah menjawat Jawatan Timbalan PPD Temerloh sebelum bertugas di PPD Maran.
     Dengan slogan "Menjuarai Kecemerlangan Daerah Maran" dan visi "Maran berprestasi Tinggi Menjelang 2012", PPDa Maran percaya hala tuju PPD Maran akan berjaya mencapai misinya. Seiring dengan itu, PPDa juga mengharapkan satu bentuk pengurusan dinamik dan berkesan dalam memastikan visi dan misi terlaksana. PPDa Maran juga menumpang tuah dan penghargaan di atas ketrampilan kepimpinan Tuan PPD Maran. Semoga PPDa Maran juga terus mantap dan dapat meneruskan agenda negara dan kementerian dalam memberi pendidikan pencegahan dadah di seluruh sekolah.
    

Jumaat, 20 Januari 2012

Sabtu, 10 Disember 2011

2,465 kes jangkitan HIV baru dikesan 9 bulan pertama tahun 2011

Satu Lagi pendedahan tentang bahaya HIV/Aids. Mengapa semakin ramai yang dijangkiti? Kehidupan manusia kini semakin terancam. Adakah kita tahu punca dan kaedah menanganinya? Bersama kita menjaga keluarga dan keturunan kita.


SANDAKAN 10 Dis. - Sebanyak 2,465 kes jangkitan HIV baru dicatatkan bagi sembilan bulan pertama tahun ini dengan 1,958 adalah golongan lelaki, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.


Beliau berkata, penyumbang utama jangkitan HIV dan AIDS di negara ini adalah perkongsian jarum suntikan tercemar kuman HIV, hubungan seksual dengan mereka yang dijangkiti, hubungan seks bebas dan jangkitan kepada anak melalui ibu yang menghidap HIV.

Secara keseluruhannya, sejak 1986 hingga September tahun ini, 93,827 kes jangkitan HIV dikesan di negara ini, katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Lokman Hakim Sulaiman. Rosnah berkata, melalui langkah pencegahan secara menyeluruh itu, kerajaan berjaya mengurangkan kes baru jangkitan HIV secara signifikan. Katanya, mulai 2003, kes jangkitan HIV baru menurun kepada 6,756 kes dan penurunan terus berlaku secara konsisten.


Pada tahun lepas, sejumlah 3,652 kes baru HIV dikesan dengan kadar 12.6 peratus bagi setiap 100,000 penduduk. Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan kadar kejadian kes baru HIV kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2015, katanya. — Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_23.htm

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...