Memaparkan catatan dengan label Arak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Arak. Papar semua catatan

Rabu, 27 Julai 2011

Beli Arak 'Pandu Lalu'

LAPORAN penyiasatan unit khas Utusan Malaysia kali ini menyingkap suatu lagi kegiatan haram iaitu penjualan arak secara mudah dan murah kepada orang ramai, termasuk golongan remaja. Bagaikan tiada syarat dan peraturan, penjual arak terbabit didapati bebas menjual bir berkonsepkan pandu lalu kepada sesiapa saja yang ingin melepaskan gian mereka tanpa mengira waktu.
     Apa yang dikesali, tiada pula sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa seolah-olah tidak tahu atau terlepas pandang mengenai perkara ini walaupun kegiatan haram itu rancak berlaku. Hasil maklumat orang ramai, wartawan, AZRAI MOHAMMAD dan jurugambar, FAUZI BAHARUDIN melakukan siasatan baru-baru ini bagi mengesahkan aktiviti tersebut.
     Hasil siasatan terbukti mendapati sememangnya kedai yang terletak di Sunway Mentari, Petaling Jaya itu menjadi tumpuan ramai kaki botol termasuk remaja Melayu kerana tarikan harganya yang murah.


KUALA LUMPUR 24 Julai – Sebatang lorong gelap yang disangka tidak dilalui orang ramai, rupa-rupanya adalah ‘syurga’ bagi kaki botol membeli arak murah berkonsepkan pandu lalu. Setiap malam, pihak terbabit bebas menjual minuman keras kepada orang awam termasuk Melayu dan remaja bawah umur dengan harga semurah RM10 untuk tiga tin arak, berbanding harga biasa RM7 setin.
     Rahsia harga murah tersebut disebabkan arak dalam tin itu belum dibayar cukai dan sepatutnya adalah untuk dieksport. Pihak berkuasa pula seolah-olah ‘merestui’ urusniaga itu dengan tidak melakukan sebarang serbuan atau penangkapan walaupun terdapat anggota polis yang berkawal kira-kira 25 meter saja dari lorong itu.
     Siasatan unit khas Utusan Malaysia selama tiga hari berturut-turut baru-baru ini mendapati, kedai yang terletak di Sunway Mentari, Petaling Jaya itu mengubah operasinya pada malam hari ke bahagian belakang kedai bagi membolehkannya menjual arak berlabel BFE (Brewed For Export).

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Jumaat, 4 Mac 2011

Bahaya Arak terutama kepada golongan Pelajar

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai gejala sosial di kalangan pelajar. Tinjauan PPDa ke sekolah-sekolah, mendapati ada segelintir pelajar kita yang pernah mengambil minuman beralkohol. Minuman ini didapati daripada Kedai 24 Jam atau kedai/warung Cina. Sedihnya apabila soalselidik yang dijalankan, majoritinya adalah kalangan pelajar Melayu-Islam. Walaupun bilangan yang mengambilnya tidak ramai namun senario ini agak membimbangkan sedangkan golongan pelajar ini berada di kawasan luar bandar.
     Perlakuan ingin mencuba ini perlu dibendung agar ianya tidak membawa kepada penagihan. Paling ditakuti adalah pengambilan alkohol murah dan fenomena ini sesuatu yang perlu dipandang serius daripada semua pihak. Guru-guru perlu memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat bahaya alkohol kepada semua pelajar. Pihak berkuasa tempatan pula harus memantau kedai-kedai yang menjual alkohol murah dan mudah didapati oleh pelajar atau orang ramai. Bimbingan agama amat perlu dalam menengani masalah ini.
     Lihatlah paparan Harian Metro tentang bahaya arak murah ini.

IPOH: Bukan akibat ilmu hitam atau disantau, namun ramai belia dilaporkan mengalami simptom muntah darah gara-gara ketagihan sejenis minuman keras digelar ‘tonik gila’ atau ‘samsu setan’. Lebih mengejutkan apabila gejala penyakit berkenaan dikesan berpunca daripada kadar alkohol terlalu tinggi sehingga mencecah 43 peratus di dalam minuman terbabit, sekali gus mengancam nyawa individu yang ketagih minuman itu.
     Gejala menakutkan ini kian serius selepas tinjauan mendapati minuman terbabit mudah dibeli hampir di semua kedai runcit dan kedai ubat tradisional Cina. Tinjauan Harian Metro mendapati minuman terbabit dengan kandungan 150 mililiter itu dijual RM3.30 sebotol. Hasil tinjauan di lebih 10 kedai runcit sekitar bandar raya ini, terdapat kira-kira lima jenama minuman keras yang dijual murah dengan kadar alkohol terendah 27 peratus.
     Seorang penagih tegar minuman terbabit yang hanya mahu dikenali Man, 21, berkata dia kini menderita penyakit hepatitis atau bengkak hati akibat ketagih minuman itu sejak lebih setahun lalu. Dia yang ditemui ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, berkata kini dia kerap muntah darah selain sakit pada hulu hati.
     “Doktor memberitahu penyakit saya itu berpunca daripada kesan toksik pada alkohol minuman keras. Saya dinasihatkan berhenti meminumnya kerana doktor bimbang hati saya bertambah rosak. “Malah, kini saya cepat pitam dan buang air besar bercampur darah,” katanya. Man berkata, dia ketagih arak terbabit selepas bercampur kumpulan Mat Rempit dan bahan berbahaya itu dengan pelbagai jenama dijual tidak melebihi RM3. Menurutnya, minuman keras yang dijual di dalam botol itu dianggap lebih ‘power’ berbanding arak di dalam tin.
     “Arak dalam tin hanya mendatangkan kesan mabuk jika diminum melebihi tiga tin, namun tonik gila ini boleh menyebabkan mabuk dengan hanya empat teguk. “Selain minuman keras berlogo candi, terdapat juga beberapa minuman keras seangkatannya yang menggunakan simbol kapak dan nombor tertentu,” katanya.
Menurutnya, arak itu menjadi pilihan remaja dan belia berikutan harganya murah dan kebanyakan individu yang meminumnya golongan berpendapatan rendah.
     “Minuman keras biasa dijual antara RM7 hingga RM9 setin, namun samsu setan ini boleh dibeli semurah RM3. “Ada juga remaja yang terjebak dalam gejala seks bebas percaya arak itu mampu menambah daya seksual, namun saya tidak pasti kebenarannya,” katanya. Menurutnya, minuman terbabit membawa mudarat apabila menyebabkan individu yang meminumnya jatuh pengsan untuk tempoh masa lama. “Sebab itu ramai kaki botol yang minum samsu murah ini boleh hilang kawalan dan tidur tersadai di kaki lima. “Rasa minuman keras ini tidak sesedap mana, namun kesannya amat pantas dan lebih ‘kaw’ jika diambil selalu,” katanya yang kini bergantung ubat hospital.
     Sementara itu, tinjauan turut mendapati ramai penagih minuman terbabit seperti penagih dadah apabila terbaring mabuk atau tidak sedarkan diri di kaki lima bangunan. Ini dibuktikan apabila rata-rata kaki botol ditemui bersama terbaring bersama botol minuman terbabit di samping mereka.

Petikan daripada akhbar Harian Metro, 4 /3/2011 http://www.hmetro.com.my/articles/Ramaimuntahdarah/Article

Arak Merbahaya

Pengambilan alkohol dalam kadar tinggi boleh menyebabkan radang hati kerana fungsi hati akan terganggu, sekali gus tubuh gagal mendapat khasiat secukupnya.
     “Ia membuktikan kesan pengambilan alkohol daripada minuman keras atau samsu murah boleh memusnahkan fungsi hati yang membantu sistem penghadaman dan membuang toksik berlebihan dalam badan,” kata Perunding Gastroenterologi Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH), Dr Wong Choon Heng. Beliau menyatakan, pengambilan kandungan alkohol berlebihan dalam tubuh menyebabkan hati menjadi keras dan rosak.
     Dr Wong berkata, kekerapan pengambilan alkohol bukan saja menyebabkan ketagihan melampau, sebaliknya boleh mengundang pelbagai penyakit kritikal termasuk menjejaskan fungsi jantung, hati, buah pinggang dan otak si peminumnya. Menurutnya, pengambilan alkohol yang banyak pada masa singkat bukan saja boleh menyebabkan mabuk, ia juga boleh menyebabkan peminumnya separuh sedar.
     “Apabila seseorang itu mabuk, banyak perkara boleh berlaku termasuk boleh mencetuskan jenayah dan kemalangan jalan raya sekiranya individu itu memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.Selain itu, katanya, ketagihan alkohol berlebihan juga boleh menyebabkan bahagian otak membengkak selain berisiko koma dan kematian mengejut. Katanya lagi, kesan pengambilan berterusan alkohol juga menyebabkan jantung menjadi lemah, sekali gus mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Petikan daripada Harian Metro, 4 Mac 2011: http://www.hmetro.com.my/articles/Musnahfungsihati/Article

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...