Selasa, 31 Mei 2011

31 Mei, Hari Tanpa Tembakau Sedunia

Hari Tanpa Tembakau disambut seluruh dunia diraikan sebagai tanda protes kepada budaya hidup yang tidak sihat yang melibatkan penggunaan tembakau. Ianya menghimpunkan protes terhadap rokok dengan mengadakan perhimpunan anti rokok.
       Di Malaysia, budaya memprotes terhadap rokok masih di tahap sederhana. Kementerian Kesihatan Malaysia telah banyak menjalankan kempen dan promosi bahaya rokok kepada masyarakat namun masih kurang kesannya. Kempen 'Tak Nak' dan meletakkan gambar kesan bahaya rokok pada kotak rokok masih kurang memberi kesan. Namun begitu kita mengharapkan usaha kempen bahaya rokok dan tembakau dapat diterus dan dipertingkatkan lagi.
      Tahniah PPDa Maran kepada Kerajaan Negeri Melaka yang telah mengisytiharkan "Bandaraya Melaka Tanpa Asap Rokok 2013". Peranan kerajaan, swasta dan semua golongan masyarakat dalam kempen anti rokok perlu dipertingkatkan. Kita perlu ingat bahawa kesan negatif dan kemudaratan rokok adalah lebih hebat dan bahaya daripada sumbangan rokok kepada ekonomi.
      Bersamalah kita menghindari rokok dan tembakau demi kesejahteraan hidup kita. Selamat Hari Tanpa Tembakau Sedunia.


Ahad, 22 Mei 2011

Tahniah kepada SMK Jengka Pusat 2, kini mempunyai Blog PPDanya sendiri

Tahniah kepada SMK Jengka Pusat 2 yang kini telah menerbitkan Blogspot PPDa sekolah mereka. Sila ikuti Laman Blog PPDa SMKJP2 di http://ppdasmkjp2.blogspot.com/
     Peranan Blog atau laman web amat penting ketika ini dalam menyebar dan memberi maklumat bukan sahaja di kalangan warga Malaysia malah diperingkat global. Maklumat dihujung jari memberi informasi terkini dan pantas. Dalam era dunia yang tanpa sempadan dan kewujudan media baru, amat memelukan maklumat atau berita yang terbaik dan inilah peluang PPDa untuk menampilkan identiiti dan peranannya.
     Pecambahan Blog PPDa sekolah amatlah diharapkan dalam memberi maklumat aktiviti dan peranan PPDa di sekolah. Maklumat tentang bahaya dadah, gam, rokok dan sebagainya, amat perlu terutama kepada komuniti sekolah. Dengan wujudnya Blog ini, dapatlah para guru dan para pelajar berkongsi maklumat. Cuma diharapkan, semua blog atau laman web yang dibina hendaklah mengikuti prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan (Surahanjaya Komunikasi Malaysia).
Satu sisipan daripada Blog PPDa SMKJP2

     PPDa Maran juga mengharapkan banyak sekolah lagi mengikuti jejak langkah SMKJP2 ini membina laman blog/web PPDa. Sila maklumkan kepada pihak PPDa Maran untuk tindakan selanjutnya.Laman Blog/Web adalah antara perkara yang dinilai sekiranya memasuki Pertandingan PPDa sama ada di Daerah, Negeri mahupun Kebangsaan. Diharapkan ianya menjadi titik tolak ke arah sekolah yang unggul dan PPDa menjadi imej sekolah itu sendiri.
     Terima kasih kepada Cikgu Ma yang melahirkan Blog PPDa tersebut di samping SMKJP2 juga mempunyai Blog Kaunseling ( http://www.cikgukaunseling.com/ )yang mantap dan penuh info menarik.

Khamis, 19 Mei 2011

Apabila Pelajar Ponteng - Merokok, Minum Arak, Mencuba Dadah

Sanggupkah kita melihat anak-anak kita sebegini? (Sekadar gambar hiasan)

Cuba kita ikuti kisah pelajar di negeri jiran kita. Masalah yang dihadapi juga berlaku di kawasan kita. Semua pihak harus bersama memainkan peranan menangani masalah disiplin pelajar terutama apabila ia melibatkan penagihan rokok, arak atau dadah. Sebab itulah pada hari ini, tiada sekolah yang berani mengisytiharkan mereka bebas dariapada rokok, dan dadah. Malah ada sekolah yang jauh daripada bandar juga agak kritikal masalah disiplin pelajarnya.
     Bagi pihak PPDa Maran, kita mengharapkan tiadalah kes-kes pelajar di daerah Maran yang akhirnya dipapar di dada akhbar. pihak sekolah perlu memnadang serius kes-kes seperti ini.


KEMAMAN – Akhlak pelajar di daerah ini semakin parah apabila segelintir mereka disyaki turut terlibat dengan gejala minum arak dengan penemuan botol dan tin minuman keras itu di beberapa lokasi panas tempat mereka melepak ketika ponteng sekolah.
     Sinar Harian difahamkan port ponteng itu mula dikesan turut menjadi lokasi untuk remaja minum minuman haram itu sejak beberapa bulan lalu. Susulan itu, bagi membendung masalah keruntuhan akhlak remaja terbabit yang berkait rapat dengan gejala ponteng sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga mengadakan Operasi Bersepadu Basmi Ponteng 2011 sehingga 17 pelajarnya yang cuba mengelak daripada mengikuti aktiviti kokurikulum berjaya dicekup semalam.
     Cubaan pelajar terbabit yang memanjat pagar untuk keluar daripada kawasan sekolah gagal, apabila kelibat mereka dikesan jawatankuasa gerak gempur basmi ponteng yang ketika itu sedang melakukan rondaan sehingga mereka panik dan bertindak melarikan diri ke dalam bas sekolah berdekatan. Bagaimanapun, tindakan itu umpama ‘tikus masuk perangkap’ sekali gus memudahkan kerja jawatankuasa gerak gempur ponteng itu kerana dari awal bas itu diletakkan di situ sebagai persediaan mengangkut pelajar yang ditangkap sempena operasi bersepadu tersebut.
     Selain sekolah, operasi bersepadu itu turut membabitkan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Geliga, Pondok Polis Kuala Kemaman, Rela Kemaman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kemaman dan 14 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sekitar termasuk JKKK Geliga Baru dan JKKK Rumah Murah Geliga.
     Setiausaha PIBG merangkap Kaunselor SMK Geliga, Jamal Sidek berkata, ujian urin yang dilakukan ke atas pelajar terbabit melibatkan pelajar Tingkatan Satu seramai enam orang, Tingkatan Dua (lima) dan Tingkatan Tiga (enam) itu mendapati semua negatif dadah. Menurutnya, pelajar yang ditangkap bertindak memanjat pagar di belakang sekolah kira-kira jam 1.40 tengah hari ketika pelajar lain sibuk mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur sebelum memulakan aktiviti kokurikulum.
      “Setiap Selasa semua pelajar ini diwajibkan mengikuti aktiviti kokurikulum yang akan tamat antara jam 4.30 dan 5 petang. “Jadi, bagi mereka tidak ingin mengikuti aktiviti kokurikulum ini mereka akan ponteng, sebab itulah kes ponteng pada setiap Selasa di sekolah ini agak tinggi berbanding hari biasa,” katanya kepada Sinar Harian.
      Menurutnya, gejala ponteng aktiviti kokurikulum dipandang serius kerana markah bagi aktiviti itu akan dikira untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) nanti apabila pelajar tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Kehadiran dalam kegiatan kokurikulum adalah sangat penting. Jadi, ibu bapa jangan salahkan sekolah jika markah kokurikulum anak rendah. “Sebaliknya ibu bapa perlu pastikan anak mereka wajib hadir aktiviti kokurikulum ini setiap minggu,” katanya.

Ada kedai jual arak kepada pelajar

Mengulas mengenai gejala minum arak dalam kalangan pelajar di port ponteng, Jamal berkata, kes itu masih lagi disiasat. “Pada masa sama, kita difahamkan terdapat kedai tertentu yang tanpa rasa bersalah menjual arak kepada pelajar pada Jumaat di belakang kedai. Difahamkan kedai terbabit terletak di Fikri. Jadi kita minta pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar yang terdiri daripada remaja Islam tidak terus hanyut.
     “Dalam menangani masalah ini, kita minta ibu bapa turut memainkan peranan dengan memastikan anak mereka tidak terlibat dengan masalah ponteng yang seterusnya boleh mengakibatkan mereka terjebak dengan banyak gejala negatif lain termasuk minum arak, hisap dadah dan hidu gam,” katanya.
Sementara itu, semua pelajar yang ditangkap itu kemudian diarahkan menunaikan solat Zuhur sebelum mengikuti aktiviti kokurikulum. Jamal berkata, semua pelajar itu akan diberikan kaunseling dan tegasnya operasi bersepadu itu akan diadakan secara berterusan.

Minta pantau kedai jual arak

Pihak berkuasa diminta mengambil langkah segera memantau kedai arak yang dipercayai bebas menjual arak murah sehingga memudahkan pelajar Melayu Islam untuk membeli minuman haram berkenaan. Ketua Operasi Bersepadu Basmi Ponteng SMK Geliga merangkap Setiausaha JKKK Kampung Geliga Baru, Zurkanain Zubir berkata, premis perniagaan menjual arak itu perlu dipantau untuk memastikan ia memiliki lesen dan perlu diberi amaran agar tidak menjual minuman keras kepada orang Islam terutama pelajar.
     “Selain memantau kedai jual arak, pihak berkuasa juga perlu memantau kedai menjual rokok yang masih tidak mematuhi arahan dengan menjual rokok mengikut batang kepada remaja di bawah 18 tahun. “Tindakan pemilik kedai yang menjual rokok mengikut batang itu dan bukan secara sekotak membolehkan lebih ramai pelajar mampu untuk membeli rokok,” katanya.



Rabu, 18 Mei 2011

Majlis Pemuafakatan Pendidikan Daerah (MPPD) bersama PIBG Sekolah-sekolah Dalam Rancangan FELDA Wilayah Jengka 2011

Program sehari ini telah dijalankan di SMK Jengka Pusat pada 30 April 2001. Antara pengisian program adalah Pembentangan Kertas Kerja, Penyerahan Resolusi, Pameran oleh MAMPAN dan Perasmian oleh Pengarah Pelajaran Pahang, YH Dato' Hj Mazlan bin Mohammad, DIMP. Kertas Kerja yang dibentangkan ialah :

  1. Isu penggunaan bahan terlarang dan tingkahlaku social dalam kalangan murid sekolah Menengah (FELDA) di Negeri Pahang oleh Encik Abdullah Sani, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, Jabatan Pelajaran Pahang.
  2. Menangani gejala disiplin murid di sekolah-sekolah dalam rancangan FELDA: Perspektif Kementerian Pelajaran Malaysia oleh Mohd Fuzi bin Haji Mohd Nor, Ketia Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM.
  3. Peranan ibu bapa dalam memperkasa PIBG bagi membangunkan generasi Baru FELDA oleh Dato’ Hj Azmey bin Abu Talib, Pengarah Pendidikan dan Latihan FELDA yang juga Mantan Pengarah Pelajaran Pahang.
     PPDa Maran berasa bangga kerana Penolong Pengarah PPDa JPN Pahang (Encik Abdullah Sani) sendiri yang membentangkan kertas kerja Pertama. Banyak isu yang telah dibangkitkan beliau malah ianya membuka mata semua pihak terutama ibu bapa, para guru dan pihak FELDA sendiri. Peratusan dan data pelajar terlibat kes (merujuk sekolah-sekolah di bawah FELDA di Daerah Maran), juga dipaparkan . Isu-isu seperti merokok, dadah, ketum, arak dan zina menjadi isu yang perlu ditangani terutama kepada masyarakat FELDA. Kita mengharapkan ianya memberi suntikan semangat kepada semua sekolah untuk menangani isu rokok dan dadah.
     Beberapa resolusi juga telah dibentang dan diterima bagi diserahkan kepada pihak KPM dan FELDA untuk tindakan selanjutnya. Satu usul resolusi daripada PPDa sendiri telah dibangkit dan dipanjangkan kepada pihak KPM dan FELDA iaitu;
  • "Memohon dana Khas daripada KPM dan FELDA untuk melaksanakan program PPDa di semua sekolah FELDA."
  • Ianya bertujuan untuk program-program PPDa yang dijalankan di sekolah seperti menambahbaik Bilik-bilik Sumber PPDa, Program Nafas Segar dan Anti Dadah dan juga program berbentuk kemasyarakatan.
  • Kita juga mengharapkan mendapat jalinan program PPDa bersama FELDA (mengambil contoh Program Sahabat PPDa-Petronas) untuk memantapkan perlaksanaan PPDa di sekolah.
En Abdullah Sani bin Abd Rahman, KU PPDa JPNP membentas kertas kerjanya.

PPDa Maran mengharapkan Resolusi ini diterima dan diperincikan bagi kebaikan semua pihak. PPDa Maran juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tersebut. Juga terima kasih kepada wakil PIBG, Pengetua dan Guru Besar semua sekolah dalam rancangan FELDA yang turut sama hadir.
Pendaftaran Peserta Seminar

Pengetua, Guru Besar dan wakil PIBG turut serta.

Ibu bapa yang turut hadir

Selasa, 17 Mei 2011

Selamat Bersara Pn Samsiah binti Haji Suradin, AMP., PKC.


PPDa Maran mengucapkan Selamat Bersara kepada Mantan Pegawai Pelajaran Daerah Maran Puan Samsiah binti Hj Suradin, yang telah tamat perkhidmatannya berakhir 19 April 2011 yang lalu. Jasa dan budi beliau tetap dikenang dan dihargai.
     Seorang yang mudah didekati dan bersikap keibuan kepada stafnya, membuatkan beliau dekat dihati para pegawai, staf, sekolah dan guru-guru. Beliau cukup prihatin tentang isu dadah dan rokok di kalangan pelajar malah pernah menyarankan tindakan serius diambil oleh semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pemimpin setempat. Beliau juga sering mengimbau kembali zaman beliau sewaktu muda belia, zaman mentadbir sekolah dan kisah kehidupan di sekelilingnya berkenaan isu dadah dan rokok.
     PPDa Maran mengucapakan terima kasih kepada beliau di atas keprihatinan dan kerjasama beliau dalam memastikan program PPDa menjadi wadah perjuangan yang perlu diteruskan dengan lebih mantap lagi.

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...