Khamis, 19 Mei 2011

Apabila Pelajar Ponteng - Merokok, Minum Arak, Mencuba Dadah

Sanggupkah kita melihat anak-anak kita sebegini? (Sekadar gambar hiasan)

Cuba kita ikuti kisah pelajar di negeri jiran kita. Masalah yang dihadapi juga berlaku di kawasan kita. Semua pihak harus bersama memainkan peranan menangani masalah disiplin pelajar terutama apabila ia melibatkan penagihan rokok, arak atau dadah. Sebab itulah pada hari ini, tiada sekolah yang berani mengisytiharkan mereka bebas dariapada rokok, dan dadah. Malah ada sekolah yang jauh daripada bandar juga agak kritikal masalah disiplin pelajarnya.
     Bagi pihak PPDa Maran, kita mengharapkan tiadalah kes-kes pelajar di daerah Maran yang akhirnya dipapar di dada akhbar. pihak sekolah perlu memnadang serius kes-kes seperti ini.


KEMAMAN – Akhlak pelajar di daerah ini semakin parah apabila segelintir mereka disyaki turut terlibat dengan gejala minum arak dengan penemuan botol dan tin minuman keras itu di beberapa lokasi panas tempat mereka melepak ketika ponteng sekolah.
     Sinar Harian difahamkan port ponteng itu mula dikesan turut menjadi lokasi untuk remaja minum minuman haram itu sejak beberapa bulan lalu. Susulan itu, bagi membendung masalah keruntuhan akhlak remaja terbabit yang berkait rapat dengan gejala ponteng sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga mengadakan Operasi Bersepadu Basmi Ponteng 2011 sehingga 17 pelajarnya yang cuba mengelak daripada mengikuti aktiviti kokurikulum berjaya dicekup semalam.
     Cubaan pelajar terbabit yang memanjat pagar untuk keluar daripada kawasan sekolah gagal, apabila kelibat mereka dikesan jawatankuasa gerak gempur basmi ponteng yang ketika itu sedang melakukan rondaan sehingga mereka panik dan bertindak melarikan diri ke dalam bas sekolah berdekatan. Bagaimanapun, tindakan itu umpama ‘tikus masuk perangkap’ sekali gus memudahkan kerja jawatankuasa gerak gempur ponteng itu kerana dari awal bas itu diletakkan di situ sebagai persediaan mengangkut pelajar yang ditangkap sempena operasi bersepadu tersebut.
     Selain sekolah, operasi bersepadu itu turut membabitkan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Geliga, Pondok Polis Kuala Kemaman, Rela Kemaman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kemaman dan 14 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sekitar termasuk JKKK Geliga Baru dan JKKK Rumah Murah Geliga.
     Setiausaha PIBG merangkap Kaunselor SMK Geliga, Jamal Sidek berkata, ujian urin yang dilakukan ke atas pelajar terbabit melibatkan pelajar Tingkatan Satu seramai enam orang, Tingkatan Dua (lima) dan Tingkatan Tiga (enam) itu mendapati semua negatif dadah. Menurutnya, pelajar yang ditangkap bertindak memanjat pagar di belakang sekolah kira-kira jam 1.40 tengah hari ketika pelajar lain sibuk mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur sebelum memulakan aktiviti kokurikulum.
      “Setiap Selasa semua pelajar ini diwajibkan mengikuti aktiviti kokurikulum yang akan tamat antara jam 4.30 dan 5 petang. “Jadi, bagi mereka tidak ingin mengikuti aktiviti kokurikulum ini mereka akan ponteng, sebab itulah kes ponteng pada setiap Selasa di sekolah ini agak tinggi berbanding hari biasa,” katanya kepada Sinar Harian.
      Menurutnya, gejala ponteng aktiviti kokurikulum dipandang serius kerana markah bagi aktiviti itu akan dikira untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) nanti apabila pelajar tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Kehadiran dalam kegiatan kokurikulum adalah sangat penting. Jadi, ibu bapa jangan salahkan sekolah jika markah kokurikulum anak rendah. “Sebaliknya ibu bapa perlu pastikan anak mereka wajib hadir aktiviti kokurikulum ini setiap minggu,” katanya.

Ada kedai jual arak kepada pelajar

Mengulas mengenai gejala minum arak dalam kalangan pelajar di port ponteng, Jamal berkata, kes itu masih lagi disiasat. “Pada masa sama, kita difahamkan terdapat kedai tertentu yang tanpa rasa bersalah menjual arak kepada pelajar pada Jumaat di belakang kedai. Difahamkan kedai terbabit terletak di Fikri. Jadi kita minta pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar yang terdiri daripada remaja Islam tidak terus hanyut.
     “Dalam menangani masalah ini, kita minta ibu bapa turut memainkan peranan dengan memastikan anak mereka tidak terlibat dengan masalah ponteng yang seterusnya boleh mengakibatkan mereka terjebak dengan banyak gejala negatif lain termasuk minum arak, hisap dadah dan hidu gam,” katanya.
Sementara itu, semua pelajar yang ditangkap itu kemudian diarahkan menunaikan solat Zuhur sebelum mengikuti aktiviti kokurikulum. Jamal berkata, semua pelajar itu akan diberikan kaunseling dan tegasnya operasi bersepadu itu akan diadakan secara berterusan.

Minta pantau kedai jual arak

Pihak berkuasa diminta mengambil langkah segera memantau kedai arak yang dipercayai bebas menjual arak murah sehingga memudahkan pelajar Melayu Islam untuk membeli minuman haram berkenaan. Ketua Operasi Bersepadu Basmi Ponteng SMK Geliga merangkap Setiausaha JKKK Kampung Geliga Baru, Zurkanain Zubir berkata, premis perniagaan menjual arak itu perlu dipantau untuk memastikan ia memiliki lesen dan perlu diberi amaran agar tidak menjual minuman keras kepada orang Islam terutama pelajar.
     “Selain memantau kedai jual arak, pihak berkuasa juga perlu memantau kedai menjual rokok yang masih tidak mematuhi arahan dengan menjual rokok mengikut batang kepada remaja di bawah 18 tahun. “Tindakan pemilik kedai yang menjual rokok mengikut batang itu dan bukan secara sekotak membolehkan lebih ramai pelajar mampu untuk membeli rokok,” katanya.



Rabu, 18 Mei 2011

Majlis Pemuafakatan Pendidikan Daerah (MPPD) bersama PIBG Sekolah-sekolah Dalam Rancangan FELDA Wilayah Jengka 2011

Program sehari ini telah dijalankan di SMK Jengka Pusat pada 30 April 2001. Antara pengisian program adalah Pembentangan Kertas Kerja, Penyerahan Resolusi, Pameran oleh MAMPAN dan Perasmian oleh Pengarah Pelajaran Pahang, YH Dato' Hj Mazlan bin Mohammad, DIMP. Kertas Kerja yang dibentangkan ialah :

  1. Isu penggunaan bahan terlarang dan tingkahlaku social dalam kalangan murid sekolah Menengah (FELDA) di Negeri Pahang oleh Encik Abdullah Sani, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, Jabatan Pelajaran Pahang.
  2. Menangani gejala disiplin murid di sekolah-sekolah dalam rancangan FELDA: Perspektif Kementerian Pelajaran Malaysia oleh Mohd Fuzi bin Haji Mohd Nor, Ketia Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM.
  3. Peranan ibu bapa dalam memperkasa PIBG bagi membangunkan generasi Baru FELDA oleh Dato’ Hj Azmey bin Abu Talib, Pengarah Pendidikan dan Latihan FELDA yang juga Mantan Pengarah Pelajaran Pahang.
     PPDa Maran berasa bangga kerana Penolong Pengarah PPDa JPN Pahang (Encik Abdullah Sani) sendiri yang membentangkan kertas kerja Pertama. Banyak isu yang telah dibangkitkan beliau malah ianya membuka mata semua pihak terutama ibu bapa, para guru dan pihak FELDA sendiri. Peratusan dan data pelajar terlibat kes (merujuk sekolah-sekolah di bawah FELDA di Daerah Maran), juga dipaparkan . Isu-isu seperti merokok, dadah, ketum, arak dan zina menjadi isu yang perlu ditangani terutama kepada masyarakat FELDA. Kita mengharapkan ianya memberi suntikan semangat kepada semua sekolah untuk menangani isu rokok dan dadah.
     Beberapa resolusi juga telah dibentang dan diterima bagi diserahkan kepada pihak KPM dan FELDA untuk tindakan selanjutnya. Satu usul resolusi daripada PPDa sendiri telah dibangkit dan dipanjangkan kepada pihak KPM dan FELDA iaitu;
  • "Memohon dana Khas daripada KPM dan FELDA untuk melaksanakan program PPDa di semua sekolah FELDA."
  • Ianya bertujuan untuk program-program PPDa yang dijalankan di sekolah seperti menambahbaik Bilik-bilik Sumber PPDa, Program Nafas Segar dan Anti Dadah dan juga program berbentuk kemasyarakatan.
  • Kita juga mengharapkan mendapat jalinan program PPDa bersama FELDA (mengambil contoh Program Sahabat PPDa-Petronas) untuk memantapkan perlaksanaan PPDa di sekolah.
En Abdullah Sani bin Abd Rahman, KU PPDa JPNP membentas kertas kerjanya.

PPDa Maran mengharapkan Resolusi ini diterima dan diperincikan bagi kebaikan semua pihak. PPDa Maran juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tersebut. Juga terima kasih kepada wakil PIBG, Pengetua dan Guru Besar semua sekolah dalam rancangan FELDA yang turut sama hadir.
Pendaftaran Peserta Seminar

Pengetua, Guru Besar dan wakil PIBG turut serta.

Ibu bapa yang turut hadir

Selasa, 17 Mei 2011

Selamat Bersara Pn Samsiah binti Haji Suradin, AMP., PKC.


PPDa Maran mengucapkan Selamat Bersara kepada Mantan Pegawai Pelajaran Daerah Maran Puan Samsiah binti Hj Suradin, yang telah tamat perkhidmatannya berakhir 19 April 2011 yang lalu. Jasa dan budi beliau tetap dikenang dan dihargai.
     Seorang yang mudah didekati dan bersikap keibuan kepada stafnya, membuatkan beliau dekat dihati para pegawai, staf, sekolah dan guru-guru. Beliau cukup prihatin tentang isu dadah dan rokok di kalangan pelajar malah pernah menyarankan tindakan serius diambil oleh semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pemimpin setempat. Beliau juga sering mengimbau kembali zaman beliau sewaktu muda belia, zaman mentadbir sekolah dan kisah kehidupan di sekelilingnya berkenaan isu dadah dan rokok.
     PPDa Maran mengucapakan terima kasih kepada beliau di atas keprihatinan dan kerjasama beliau dalam memastikan program PPDa menjadi wadah perjuangan yang perlu diteruskan dengan lebih mantap lagi.

Rabu, 11 Mei 2011

Memantau Perlaksanaan PPDa di SK Kuala Wau

Pengalaman menaiki bot ke sekolah bersama GB SKKW dan Pengerusi PIBG SKKW (pemandu bot)


Guru Besar SK Kuala Wau, En Khairuddin setiap hari meniki bot ke sekolah.
Pemantauan telah dilaksanakan pada 10 Mei 2011. SK Kuala Wau merupakan sebuah sekolah yang mempunyai asrama desa dan terletak di seberang Sungai Pahang. Perjalanan ke sekolah tersebut mengambil masa 1 jam jika menggunakan jalan raya iaitu melalui Chenor. Sekiranya melalui Kg Senggora dan Lubuk Paku serta menaiki bot menyebari Sungai Pahang, masa yang diambil lebih kurang 30 minit.
     SK Kuala Wau merupakan sebuah sekolah yang boleh dianggap istimewa di Daerah Maran memandangkan lokasi geografinya dan juga adanya asrama desa yang menempatkan majoriti pelajarnya yang masih bersekolah rendah. SK Kuala Wau dipimpin oleh Guru Besar yang komited dan mempunyai wawasan yang tinggi. Menariknya, Guru Besar SK Kuala Wau iaitu En Khairuddin bin Hj Kechik, PPN. merupakan Mantan PKD Maran. Beliau pernah menjawat Pegawai Khas PPDa Daerah Maran mulai 16/1/1995 hingga 16/7/2004.
     Sewaktu pemantauan dibuat, turut bersama ialah wakil Kementerian Pelajaran Malaysia daripada JPN Terengganu, Kelantan dan Pahang (Penyelia Kanan HEM Asrama) yang membuat penilaian Pertandingan Asrama Terbilang Kebangsaan 2011-ASAT. PPDa mengucapkan tahniah kepada warga SKKW yang komited dan cemerlang. SKKW juga telah mendapat New Deals dan 8 orang 5A UPSR 2010. Kecemerlangan ini menjadi pemankin kepada  semangat guru, kakitangan dan pelajar. SKKW antara sekolah yang menjadi contoh yang baik kepada sekolah sekitarnya.
     Antara hasilan SKKW yang dinilai dalam ASAT, ialah wujudnya lorong PPDa di asrama. Penggunaan lorong anti dadah di asrama banyak memberi kesan kepada pengetahuan dan jati diri pelajar agar tidak terjebak dalam masalah rokok mahupun dadah. Laluan lorong daripada asrama ke bangunan sekolah dapat memberi pendedahan bahaya rokok dan dadah kepada semua pelajar.
     Pendekatan asrama di sekolah rendah cukup memberi kesan kepada peribadi dan tingkah laku pelajar. Ini membantu kepada 'kemenjadian murid'. Ini juga antara kunci atau rahsia SKKW mampu mengatasi sekolah lain di daerah Maran dalam menghasilkan pelajar cemerlang UPSR (5A-8 orang). Tahniah diucapkan.
     Selain Lorong PPDa di asrama, SKKW juga mempunyai Bilik Sumber PPDanya. Melangkah ke Bilik Sumber PPDa SKKW, anda akan tergamam melihat 'kubur' di hadapan pintu masuknya. Harap sekolah ini dapat meningkat maju dan terus cemerlang




                                                         Lorong Anti Dadah di Asrama.

336 perokok remaja dikompaun

Paparan akhbar Sinar Harian pada hari Selasa 10 Mei 2011 merujuk kepada masalah pelajar yang merokok  dan kompaun oleh Jabatan Kesihatan terhadap mereka. Adakah anak-anak dan pelajar kita terlibat sama?

KUALA LUMPUR - Seramai 336 perokok remaja dikompaun RM50 setiap seorang dalam operasi Orang Belum Dewasa (OBD) di seluruh negara kerana merokok serta memiliki tembakau. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, surat amaran juga akan dihantar kepada ibu bapa atau penjaga mereka untuk memaklumkan kesalahan tingkah laku anak mereka.
       Menurutnya, seorang pekedai runcit turut dikompaun RM500 kerana menjual tembakau kepada perokok bawah umur. “Sebanyak 24 penjual hasil tembakau turut dikompaun kerana gagal mempamerkan Tanda Larangan Jualan Hasil Tembakau Kepada Orang Di Bawah Umur 18 Tahun. “Secara keseluruhannya, sejumlah 361 kompaun dikeluarkan dalam operasi di seluruh negara dan jumlah kompaun dikenakan RM29,300,” katanya.
      Hassan berkata, sejumlah 2,101 tempat diperiksa dalam operasi ini, di mana 1,600 daripadanya adalah tempat penjualan hasil tembakau seperti gerai runcit, kedai runcit, pasar raya, kedai makan dan restoran dan sebagainya.Manakala bakinya adalah tempat di mana orang belum dewasa didapati merokok seperti di kawasan sekolah, hentian bas, pasar raya, kedai makan, stesen minyak dan sebagainya.
      Mereka yang gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh masa ditetapkan akan didakwa di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
      “Kementerian memandang serius trend orang belum dewasa merokok yang menjadikan mereka ketagih terhadap tabiat merokok. “Pihak kami akan meneruskan operasi penguatkuasaan melindungi orang ramai daripada bahaya rokok dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peruntukan undang-undang mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.
      Kepada sesiapa yang ingin berhenti merokok, mereka bolehlah mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan atau menghubungi Infoline 03-88834400 untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Khamis, 28 April 2011

Keldai Dadah : 10 rakyat Malaysia di tahan di New Zealand

Macam-macam cerita dadah zaman sekarang. Remaja anatara mangsanya. Bukan sahaja ketagihan, malah ada yang sanggup menjadi pengedar. Kita sering dipaparkan tentang 'Keldai Dadah' dari Iran, tetapi kini rakyat Malaysia pula menjadi keldai dadah di luar negara. Seramai 833 orang rakyat Malaysia telah ditahan di luar negara kerana menjadi 'Keldai Dadah'. Sayangnya rakyat Malaysia yang ditahan merupakan pelajar atau golanagan cerdik pandai. Sila lihat paparan Utusan Malaysia bertarikh 28 April 2011

KUALA LUMPUR 27 April — Sepuluh rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand, semalam selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta). Akhbar New Zealand Herald melaporkan, dadah jenis methamphetamine itu ditemui disorokkan dalam kasut suspek.
     Laporan menyebut, kastam membuat tangkapan itu selepas menahan dua rakyat Malaysia daripada sekumpulan pelancong yang tiba di lapangan terbang tersebut pada tengah hari semalam.
Selepas diperiksa dan disoal siasat, pihak berkuasa mendapati mereka membawa methamphetamine atau ‘P’ dalam kasut masing-masing, sebelum bertindak mengesan kumpulan pelancong terbabit.
     “Kesemua mereka didapati membawa antara 800 gram dan sekilogram P dalam kasut masing-masing. Nilai semasa P dianggar NZ$1 juta (RM2.4 juta) sekilogram,” kata akhbar itu.
Lapan lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan awal 20-an dan lewat 60-an itu dijadual dihadapkan ke Mahkamah Daerah Manukau hari ini.
     Laporan itu memetik Pengurus Siasatan Dadah Kastam Mark Day sebagai berkata, tangkapan tersebut membabitkan bilangan ‘keldai dadah’ teramai dalam satu operasi di New Zealand.
     “Dengan menyertai kumpulan pelancong yang dilihat sebagai sah, penjenayah ini cuba mengikuti corak perjalanan yang biasa dilakukan pelancong agar tidak dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
Menurut Kementerian Luar Malaysia, sehingga 31 Mac tahun ini seramai 833 daripada 1,880 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara adalah kerana kes dadah. — BERNAMA

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...